skip to Main Content
FENOMENA “MUKBANG”: SUDUT PANDANG ISLAM

FENOMENA “MUKBANG”: SUDUT PANDANG ISLAM

Disebalik Populariti ‘Mukbang

Mukbang menjadi salah satu fenomena global yang meluas sebarannya di seluruh dunia. Bermula dari negara Korea Selatan sekitar tahun 2010, kini fenomena ini dikenali hampir di keseluruhan negara. Menurut carian google trend, Mukbang mula popular sebagai istilah carian maya sekitar tahun 2014 di Korea Selatan sebelum berkembang secara global. ‘Mukbang’ atau ‘Meokbang’ berasal dari gabungan dua perkataan Bahasa Hangul iaitu ‘Muk’ dari perkataan ‘Mukja’ yang bermaksud ‘Makan’ dan ‘Bang’ dari perkataan ‘Bangseong’ yang bermaksud ‘Siaran’. Menerusi aktiviti Mukbang, pelbagai jenis makanan dan minuman disediakan dalam kuantiti yang banyak kemudian, dimakan oleh personiliti Mukbang itu sendiri sambil berbual dengan penonton. Bagi masyarakat di Korea Selatan makan merupakan aktiviti sosial dan merupakan satu budaya untuk tidak bersendirian ketika makan. Berikutan itu, tercetusnya idea untuk mengadakan sesi makan secara live ataupun rakaman video. Secara literal, Mukbang sememangnya bermaksud siaran makan yang dikendalikan oleh penyiar video yang secara tersusun akan menayangkan sesi makan secara interaktif bersama penonton.

Selain daripada menyajikan pelbagai jenis makanan yang viral, kebiasaannya, Mukbang menampilkan beberapa elemen yang diselitkan di dalam siaran seperti review, Autonomous Sensory Meridian Response (ASMR), dan challenge untuk menarik perhatian penonton. Dengan tambahan elemen-elemen tersebut berupaya menarik penonton sehingga menjadi pengikut tetap siaran. Secara tidak langsung, meningkatkan jumlah tontonan dan seterusnya diterjemahkan sebagai pendapatan kepada penyiar Mukbang. Mukbang yang pada asalnya hanya merupakan trend video YouTube, tetapi kini boleh ditonton menerusi pelbagai platform seperti Instagram dan sebagainya. Atas faktor tersebut, tiada halangan dan sempadan untuk sesiapa sahaja menonton siaran Mukbang asal sahaja mempunyai capaian internet. Demikian, tidak hairan sekiranya Mukbang menjadi ikutan dan tontonan ramai sehingga menjadi satu fenomena.

fenomena-Mukbang-pic 1

Sumber: YouTube Zach Choi ASMR (2019)

Hakikatnya, fenomena unik ini turut melahirkan ramai personaliti Mukbang seperti Banzz, Dorothy, Yuka Kinoshita, MommyTang, Keemi, Stephanie Soo, Steven Sushi, Quang Tran, BeenDeen dan lain-lain. Tidak ketinggalan Malaysia sendiri turut mempunyai personaliti Mukbang seperti Isaac Othman, Syedot ASMR, Hishan Raus, Oohami, MDM ASMR dan ramai lagi. Masing-masing mereka mempunyai pengikut tersendiri. Bagi mereka yang terlibat secara aktif menghasilkan video-video Mukbang, selain daripada mengecap populariti, secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan sampingan. Salah seorang personaliti Mukbang yang menerima bayaran yang tinggi adalah dari Korea Selatan dikenali sebagai Dona. Siaran Dona mempunyai lebih dari 10 juta pengikut dengan tontotan siaran tertinggi sebanyak 932 juta tontonan. Di Korea Selatan, Mukbang turut menjadi suatu ketaksuban sehinggakan peminatnya sanggup membayar personaliti kegemaran mereka semata-mata untuk memberi sokongan. Ternyata, fenomena Mukbang bukan sahaja menjana sumber pendapatan kepada sesetengah individu bahkan mengangkat populariti mereka.

fenomena-Mukbang-pic-2
Sumber: YouTube Dona (2021)

Namun begitu, adakah Mukbang hanya memberi impak yang positif kepada semua pihak atau sebaliknya? Menurut Harris, Calado dan Griffiths (2021) menerusi kajian bertajuk ‘The Psychology of Mukbang Watching: A Scope Review of Academic and Non Academic Literature’ terdapat beberapa impak dan akibat pada persepsi penonton siaran Mukbang. Menurut pengkaji Mukbang berupaya mengubah persepsi terhadap norma pemakanan yang biasa, mempromosikan gaya pemakanan yang merbahaya, mempengaruhi seleksi pemakanan, mengelirukan persepsi serta memanipulasi psikologi penonton, menampilkan adab dan tatacara ketika makan yang tidak baik dan berlawanan dengan tatacara tradisional yang dipupuk sejak kecil, serta mendorong perbelanjaan secara berlebihan. Hal ini memaparkan bahawa Mukbang memberi kesan negatif terhadap beberapa perkara berkaitan dengan kesihatan, adab dan tatacara dan mendorong ke arah pembaziran. Sedikit sebanyak, kajian tersebut mendedahkan sisi negatif Mukbang terhadap pengikut atau penontonnya.

fenomena-Mukbang-pic 3
Sumber: Dreamstime (2021)

Dalam pada itu, Mukbang juga berupaya mengundang permasalahan lain iaitu Binge Eating Disorder (BED) yang merupakan gangguan pemakanan. Menurut National Health Service (2020), BED memungkinkan seseorang untuk mengambil makanan yang banyak dalam tempoh yang singkat walaupun merasa tidak lapar. Perlakuan ini turut menyebabkan seseorang individu sukar berhenti makan sehingga mengundang kepada masalah kesihatan. Menurut Fadhli Rizal Makarim (2019), pelaku BED cenderung untuk memiliki kualiti hidup yang buruk sehingga mempengaruhi kehidupan sosial seseorang. Tambahan pula penghidap BED turut berisiko mengalami obesiti. Situasi ini sememangnya sangat dekat dengan perlakuan Mukbang yang sedang menjadi trend masa kini. Ternyata Mukbang bukan sahaja memberi kesan yang positif tetapi juga kesan negatif lebih-lebih lagi yang terkait dengan kesihatan. Berikutan daripada impak negatif ditengah populariti Mukbang, artikel ini turut mengupas dengan lebih lanjut dari sudut pandang Islam.

Mukbang dari Sudut Pandang Islam

fenomena-Mukbang-pic 4

Sumber: Muidigital (2020)

Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita melihat segenap aspek tingkah laku dan gaya hidup kita dari kacamata ajaran Nabi SAW dan Islam. Adakah Islam melarang sama sekali aktiviti Mukbang ini? Tiada dalil khusus yang tidak membenarkan siaran makan, namun perlu seiring dengan adab-adab yang dijelaskan dalam al-Qur’an dan Hadith.

Seeloknya siaran makan yang dikendalikan oleh seorang Muslim menampilkan informasi yang bermanfaat serta diselitkan dengan nasihat-nasihat yang menzahirkan rasa bersyukur atas rezeki, keelokan penciptaan pancaindera untuk merasai nikmat Allah, menimbulkan rasa ingin berkongsi dan bersedekah rezeki Allah yang enak rasanya. Dalam masa yang sama, ia juga membantu pengusaha makanan dengan promosi yang baik dari penyiar Mukbang. Pendek kata, siaran Mukbang ini lebih banyak mendekatkan penonton kepada Allah SWT.

Bagaimana pula dengan perkara-perkara yang perlu dijauhi dalam siaran Mukbang? Antara yang utama adalah menjauhi makanan yang haram/makruh serta yang merosakkan kesihatan tubuh badan selaras dengan Maqasid Syariah dalam menjaga nyawa dan agama. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah:195 yang bermaksud :-

“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.”

Sangat jelas di sini bahawa setiap dari kita bertanggungjawab ke atas amanah tubuh badan yang diberikan oleh Allah SWT dan menjaganya dengan baik. Perbuatan makan dengan terlampau banyak, atau dengan sengaja mengambil makanan yang terlalu pedas atau manis dengan jumlah yang banyak yang mana kita tahu akan implikasi buruknya kepada kesihatan adalah suatu bentuk kezaliman kepada tubuh badan kita.

Dr. Andrew Bates, salah seorang pegawai dan pensyarah perubatan di Renaissance School of Medicine, Stony Brook University menerangkan bahawa seseorang yang gemar melakukan Mukbang dengan cara yang tidak sihat akan menyebabkan sistem dalaman tubuh badan di dalam keadaan celaru. Ini kerana badan tidak dapat mengenalpasti pola pemakanan yang tetap serta kerap perlu bekerja keras memproses makanan yang terlalu banyak masuk ke dalam badan. Lama-kelamaan ianya akan memberi kesan buruk kepada tubuh badan dalam jangka masa panjang.

Beliau juga menerangkan bahawa individu yang bertubuh kurus tetap akan mengalami masalah yang sama dengan individu obesiti dari segi paras gula serta lemak dan berisiko mendapat penyakit di dalam keadaan tanpa sedar jika terus melakukan Mukbang.

Islam juga sangat melarang umatnya makan secara berlebih-lebihan sehingga memudaratkan. Firman Allah SWT di dalam Surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud:

“Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Selain daripada implikasi pada kesihatan, makan secara berlebihan ini membawa kepada rasa malas dan tidak cerdas pemikirannya sebagaimana pesan Luqmanul Hakim kepada anaknya :

“Wahai anakku, apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun terasa berat dari ibadah.”

Apalah nilai seorang Muslim yang ingin dibanggakan sekiranya dia mempunyai masalah kesihatan, kurang hikmah (kebijaksanaan) dan tidak bersemangat hariannya akibat malas. Kesemua ini berpunca daripada pengamalan Mukbang yang tidak sihat. Tiada gunanya mempunyai pendapatan yang lumayan kerana ramai pengikut siaran Mukbang tetapi ianya tidak memberi nilai tambah kepada pembinaan jasmani apatah lagi rohani diri penyiar Mukbang itu sendiri, bahkan membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kelak.

Marilah kita menjadi insan yang lebih baik dengan mengambil konsep bahawa hidup kita seluruhnya adalah suatu ibadah. Kita makan untuk meneruskan kelangsungan hidup dan untuk memudahkan kita beribadah dan bukan sebaliknya iaitu hidup untuk makan. Nabi SAW mengajarkan cara untuk mengisi perut iaitu makan cukup sekadar memberikan tenaga dan tidak memenuhkan perut dengan makanan, selaras dengan hadith :-

Dari Miqdam bin Ma’di Kariba : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seorang anak Adam mengisi sesuatu yang lebih buruk dari perutnya sendiri , cukuplah bagi anak adam beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya, jikapun ingin berbuat lebih, maka sepertiga untuk makanan dan sepertiga untuk minum dan sepertiga lagi untuk nafasnya”(Hadith riwayat Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah).

Adab dalam Mukbang

fenomena-Mukbang-pic 5
Sumber: IslamituIndah.my (2020)

Sememangnya, tiada larangan khusus untuk melakukan Mukbang dalam Islam, namun sedikit sebanyak aktiviti makan secara berlebihan ini bertentangan dengan adab makan dalam Islam. Sekurang-kurangnya personaliti Mukbang Muslim yang ingin menghasilkan video mereka perlu menitikberatkan adab makan yang sepatutnya menurut Islam. Tidak sewajarnya video-video Mukbang yang dihasilkan semata-mata ingin meningkatkan pendapatan dan meraih populariti semata-mata.

Dari pandangan mata kasar Mukbang mungkin memberi impak yang positif, lebih-lebih sebagai sumber pendapatan sampingan, namun trend ini turut meningglkan kesan sebaliknya. Oleh itu, di samping menjadikannya sebagai sumber pendapatan seseorang individu terutamanya yang beragama Islam perlu meneliti kembali serta menitikberatkan nilai-nilai Islam dalam siaran Mukbang supaya selari dengan tuntutan syara’ serta jauh dari kemudaratan tubuh badan. Selain itu, penonton atau pengikut siaran ini pula perlu memilih siaran yang bersesuaian dan mampu memberi kebaikan kepada diri sendiri berbanding kemudaratan untuk dijadikan tauladan dan sempadan. Hargailah nilai dan nikmat kesihatan sebelum datangnya penyakit yang sukar dihantar pulang apabila ia mula singgah di badan. Menjaga kesihatan tubuh badan merupakan salah satu aspek yang dituntut agama. Kesihatan merupakan amanah yang dituntut dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT.

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search