skip to Main Content
Poligami: Antara Sunnah & Tanggungjawab

Poligami: Antara Sunnah & Tanggungjawab

Oleh: Norhafizah Ghazali dan Siti Zuliana Md Zuki

Islam membenarkan poligami bagi kepentingan umat Islam dalam membina sebuah institusi kekeluargaan yang mawaddah. Poligami berasal dari perkataan ‘poli’ yang membawa maksud banyak manakala perkataan ‘gami’ pula ertinya isteri. Poligami secara keseluruhan memberi makna beristeri banyak. Poligami merupakan satu isu yang sering mencetuskan perdebatan sama ada dalam dunia realiti atau di media sosial. Sebut sahaja berkaitan isu ini, pasti akan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang bersetuju dengan hujah poligami merupakan sunnah dan dibolehkan dalam Islam. Namun, ramai juga yang menentang dengan pelbagai alasan tersendiri sama ada dari segi undang-undang dan juga psikologi. Dua perkara yang perlu diambil kira dalam isu berkaitan poligami adalah sunnah dan tanggungjawab. Dalam keinginan untuk mengikut sunnah, ramai terlupa untuk mengambil berat berkaitan tanggungjawab yang lebih besar apabila berpoligami.

Pelbagai persoalan yang timbul apabila membincangkan perihal poligami. Sejauh mana perlunya berpoligami? Bagaimanakah tanggungjawab suami yang berpoligami? Untuk mereka yang tidak bersetuju dengan poligami, adakah mereka menentang sesuatu yang telah dihalalkan dalam Islam?

Sunnahkah Berpoligami?

Merujuk kepada kitab Ulum al-Hadith wa Nusus min al-Athar (1/31), ulama mentafsirkan sunnah sebagai apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlak ataupun fizikal. Akan tetapi, apakah hanya setakat itu maksudnya? Hukum perlu dipandang dari sudut asbab dan illahnya. Kaedah mengatakan:

Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”

Maksudnya, tidak boleh meletakkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir mengikut sunnah semata-mata, tetapi haruslah dilihat kepada maslahat sesuatu perkara itu. Hal ini merangkumi poligami yang kadang kala menjadi keperluan dan kadang kala tidak perlu kerana boleh jadi suatu kezaliman. Firman Allah SWT:

Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.”

Merujuk kepada Surah an-Nisa’, ayat 3 jelas menyatakan bahawa hukum berlaku adil adalah wajib dan jika seorang lelaki tersebut meragui keupayaannya untuk berlaku adil dan mengundang kezaliman, cukuplah dengan seorang isteri sahaja.

Baginda Rasulullah SAW sendiri setelah kewafatan isteri pertama, Khadijah binti Khuwailid, barulah baginda berpoligami atas tujuan dakwah. Pernikahan baginda tidak dilakukan secara sembunyi tetapi secara terhormat dan berjaya menyatukan hati banyak pihak yang suka bermusuhan. Poligami yang memecah-belahkan dan tidak adil itu bukanlah perkara sunnah kerana hal itu jelas bertentangan dengan perbuatan Rasulullah SAW.

Tanggungjawab Bagi Suami Yang Berpoligami

Berbicara tentang poligami, soal keadilan akan menjadi persoalan pertama yang dilontarkan. Menjadi satu kewajipan bagi semua suami yang berpoligami untuk adil kepada isteri-isterinya tanpa mengira umur, status sosial, kecantikan dan latar belakang mereka. Kesediaan untuk mengamalkan poligami bukan sekadar keupayaan fizikal dan batin tetapi juga kesediaan untuk menyediakan keperluan secara material. Satu cabaran yang besar untuk suami yang berpoligami adalah dari segi keadilan dan kesaksamaan.

Berpoligami bukanlah untuk memenuhi tuntutan nafsu dan keinginan fizikal lelaki semata-mata. Apabila seorang suami mempunyai lebih dari seorang isteri, tugas dan tanggungjawabnya menjadi lebih besar terutama dalam menyediakan nafkah zahir dan batin untuk tanggungan di bawahnya. Nafkah zahir dan batin wajib dipenuhi oleh suami mengikut kadar kemampuan suami tersebut dan berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan. Ini adalah berdasarkan dalil dari al-Qur’an dalam surah al-Talak ayat 7:

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya”

Dari segi nafkah zahir, seorang suami haruslah mampu untuk menyediakan tempat tinggal yang sewajarnya bagi keluarga mengikut kemampuannya, mampu memberi keperluan asas nafkah makan, minum dan pakaian secukupnya, mampu menyediakan kemudahan asas seperti pendidikan dan lain-lain kemudahan untuk isteri-isteri dan anak-anak dan akhir sekali tidak berpenyakit dan sihat tubuh badan untuk memenuhi tuntutan nafkah. Nafkah batin yang mesti dipenuhi oleh seorang suami pula merangkumi; keperluan emosi, mental dan fizikal yang baik, kasih sayang, belaian, dan didikan agama yang mencukupi, cara muamalah dan komunikasi yang baik antara suami dan isteri dan kebersamaan hubungan kelamin yang baik antara suami dan isteri.

Apabila berbicara berkenaan poligami, sesetengah wanita menyatakan ketidaksetujuan terhadap pekara itu, tetapi ianya tidak memberi maksud mereka menolak hukum Allah. Penolakan ini disebabkan mengambil kira beberapa aspek seperti kemampuan menyediakan nafkah zahir dan batin oleh si suami selain berkenaan soal hati dan perasaan terutama bagi isteri pertama dan anak-anak. Poligami adalah suatu usaha yang berat dan mempunyai liabiliti yang tinggi, sesuatu yang kebanyakan lelaki tidak mampu untuk melakukannya.

Dari perspektif suami, memulakan kehidupan poligami adalah sukar. Ini kerana penentangan dan ketidaksetujuan isteri pertama dan anak, kurang pengalaman dalam mengawal emosi dan perasaan kedua-dua pasangan, masalah kewangan, pengurusan masa dan menguruskan konflik keluarga pada awal perhubungan poligami. Selain itu, ketidakmampuan suami dalam menyediakan keperluan asas hidup seperti kewangan, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan lain juga menjadi sebab kenapa wanita merasakan suami mereka tidak layak berpoligami. Ketidakmampuan suami dalam menyediakan nafkah keluarga memaksa isteri untuk berusaha berkerja membantu mereka. Jadi, adakah mereka ini layak untuk berkahwin lebih dari satu?

Sesetengah wanita dalam perkahwinan poligami menyifatkan suami mereka sebagai dominan, mengawal dalam membuat keputusan dan memupuk sistem patriarki (Thobejane, 2016; Mukhuba, 2017). Suami yang berpoligami cenderung untuk memberikan sedikit ruang untuk isteri membincangkan sesuatu perkara dan tidak terlalu mengambil berat tentang emosi dan perasaan mereka. Ini kerana suami merasakan dia perlu dihormati sepenuhnya dan tidak boleh bertolak ansur apabila keputusannya ditolak (Mukhuba, 2017). Hal ini akan mencetuskan konflik dalaman bagi isteri seterusnya menyebabkan mental dan emosi mereka terganggu.

Penolakan terhadap poligami juga berlaku kerana kebanyakan individu melihat poligami mendiskriminasi wanita kerana ketidakadilan dan ketidaksamaannya. Keadilan dalam poligami adalah sangat sukar direalisasikan kerana ia merangkumi bukan sahaja keperluan material tetapi juga melibatkan soal hati dan perasaan yang menjadi tanggungjawab yang mesti dipenuhi oleh para suami.

Namun begitu, bukan semua wanita menentang poligami. Ada sebahagian wanita yang berpendapat poligami adalah perkara yang perlu digalakkan selagi ianya dilakukan atas dasar patuh hukum. Dalam satu kenyataan oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), mereka tidak menentang poligami dan sebaliknya hanya mahukan pentadbiran yang tulus berhubung dengan soal poligami agar ianya tidak disalahgunakan. Mereka menyambut baik konsep poligami dan menganggap ini adalah peluang untuk mengurangkan tanggungjawab mereka dalam memenuhi hak-hak suami kerana hak-hak itu boleh dikongsi bersama isteri-isteri lain. Selain itu, mereka berpendapat poligami dapat menyelesaikan masalah zuriat bagi pasangan yang inginkan anak dan keluarga yang besar.

Tuntasnya, para ulama, pakar undang-undang, dan masyarakat membincangkan isu poligami ini sebagai satu cabaran bagi wanita dan hampir mustahil untuk direalisasikan. Keadilan yang dituntut dalam al-Qur’an digambarkan sebagai kasih sayang, cinta, dan penjagaan serta tidak boleh diukur dengan angka secara kuantitatif. Maka, walau apa pun bentuk perkahwinan itu sama ada monogami atau poligami, ketua keluarga haruslah memainkan peranan dalam memastikan rumahtangga yang dibina berlandaskan unsur-unsur yang telah ditetapkan oleh dalil al-Qur’an. Nescaya dalam perkahwinan monogami mahupun poligami tidak akan berlaku kezaliman dan penyelewengan dalam institusi kekeluargaan Islam.

 

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top
×Close search
Search